Thursday 20 August 2015

PERTANDINGAN KAWAD KAKI UNIT BERUNIFORM

Pada hari rabu yang lalu bersamaan dengan 19 Ogos 2015, Unit Kokurikulum SEMORDA telah menjalankan Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform peringkat sekolah. Pertandingan tersebut julung kali diadakan dan mencatat nama dalam sejarah sekolah. Pertandingan bermula pada jam 8.00 pagi di tapak perhimpunan sekolah dan disertai oleh 5 badan beruniform termasuk Pasukan Kadet Bomba, Pasukan KRS, Pasukan Kadet Polis, Pandu Puteri dan Persatuan Bulan Sabit Merah.
      Pertandingan tersebut dihakimi oleh hakim jemputan iaitu Pegawai Polis daripada IPD Cheras dan Pegawai Bomba daripada Balai Bomba Cheras. Kelima-lima pasukan menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat berpasukan semasa pertandingan dijalankan.
     Majlis penutup dijalankan pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dan acara penutup dirasmikan oleh En. Aminuddin Jamal bin Jamaluddin, YDP PIBG SEMORDA. Juara keseluruhan bagi pertandingan kawad kaki adalah pasukan KRS dan diikuti tempat kedua iaitu Pasukan Pandu Puteri. Pasukan Kadet Polis merangkul tempat ketiga. tempat keempat dimenangi oleh pasukan PBSM dan Pasukan Kadet Bomba mendapat tempat terakhir iaitu tempat kelima. Majlis tamat sepenuhnya pada jam 4.00 petang dan murid pulang ke rumah pada jam 4.30 petang










Monday 17 August 2015

PROGRAM RIMUP - JALINAN KASIH AIDILFITRI

Pada 14 Ogos yang lalu iaitu pada hari Jumaat, SMK Orkid Desa telah mengadakan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) - Jalinan Kasih Aidilfitri. Program tersebut bermula pada jam 8.30 pagi dan melibatkan semua guru, staf dan murid. YDP PIBG dan beberapa AJK PIBG turut hadir untuk memeriahkan majlis. 
          Program tersebut dijalankan di Dewan Utama SMK Orkid Desa. Semua guru, murid dan ibu bapa yang hadir mengenakan pakaian yang berwarna-warni sesuai dengan majlis yang dijalankan. Terdapat juga murid yang memakai pakaian tradisional kaum masing-masing. Pelbagai juadah telah dihidangkan secara buffet dan terdapat juga makanan-makanan lain yang dibawa oleh guru dan murid. Hadirin juga dihiburkan oleh persembahan sketsa daripada murid tingkatan 4 dan nyanyian lagu raya oleh beberapa orang guru. Majlis berjalan lancar dan tamat pada jam 11.00 pagi.











Saturday 8 August 2015

GOTONG-ROYONG PERDANA KALI KEDUA 2015

Pada hari sabtu, 8 Ogos 2015, SMK Orkid Desa telah mengadakan Gotong-Royong Perdana kali Kedua bagi tahun 2015. program tersebut bermula pada jam 8 pagi dan melibatkan semua guru, murid, AJK PIBG dan ibu bapa. Murid berkumpul di dewan pada jam 7.20 pagi dan guru kelas mengambil kehadiran. Selepas itu, murid dipecahkan kepada kumpulan mengikut Kelab dan Persatuan masing-masing. Setiap kumpulan telah diberikan "Taman Angkat" di sekitar kawasan sekolah.
       Pokok-pokok diedarkan kepada setiap kumpulan dan pokok tersebut ditanam di Taman Angkat masing-masing. Setiap kumpulan dipertanggungjawabkan menjaga dan memantau pembesaran pokok di Taman Angkat masing-masing. Majlis berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik dari semua yang terlibat. Majlis tamat pada jam 12 tengah hari.







Thursday 6 August 2015

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS

Pada 31 Julai hingga 1 Ogos 2015 yang lalu, Unit Hal Ehwal Murid SEMORDA telah mengadakan Kursus Kepimpinan Pengawas bertempat di Glory Beach Resort, Port Dickson. Kursus tersebut dikendalikan oleh Konsultan yang telah dipersetujui oleh pihak sekolah. Guru yang hadir bertindak untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan disiplin, keselamatan dan kebajikan peserta sahaja.
   Kursus tersebut telah berjaya mencapai objektif dengan cemerlang dan murid mendapat input yang sangat bermakna. Kursus tersebut berakhir pada 1 Ogos jam 5 petang dan murid bergerak pulang ke sekolah dengan menaiki bas.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...