Friday 27 October 2017

MAJLIS GRADUASI

SMK Orkid Desa sekali lagi telah melakar sejarah apabila berjaya mengadakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 buat julung kalinya pada tahun ini. Majlis tersebut diadakan pada hari Jumaat, 29 September 2017 bertempat di Dewan Utama Sekolah dan dirasmikan oleh YDP PIBG, Encik Razali Bin Baharin. Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan perarakan masuk pelajar tingkatan 5, guru-guru kelas serta guru subjek tingkatan 5 dan para jemputan. Pelajar-pelajar memakai jubah graduasi yang serba merah dan membuatkan majlis tersebut lebih meriah. 
         Setelah selesai ucapan perasmian, acara penyampaian sijil dimulakan dengan kelas 5 Tera dan 5 Mega dan diikuti oleh kelas 5 Fedora. Para murid dan hadirin juga disajikan dengan beberapa persembahan termasuk persembahan tarian tradisional dan dikir barat. Seorang pelajar tingkatan 5 Tera iaitu Eileen Tong telah memukau penonton dengan persembahan yang ringkas tetapi meninggalkan seribu makna dihati warga sekolah. Ucapan tahniah kepada semua pelajar tingkatan 5 tahun 2017 dengan harapan semoga berjaya dalam peperiksaan SPM seterusnya berjaya dalam kerjaya masing-masing.










Wednesday 25 October 2017

PERKHEMAHAN KO-KURIKULUM

Unit Kokurikulum SMK Orkid Desa dengan kerjasama daripada guru-guru, staf dan AJK PIBG sekali lagi telah berjaya melaksanakan satu Perkhemahan Kokurikulum bermula pada hari Jumaat, 8 September 2017 hingga Ahad, 10 September 2017 bertempat di Kem Sungai Lopo Village, Hulu Langat. Perkhemahan tersebut merupakan perkhemahan kokurikulum kali kedua setelah kejayaan perkhemahan kali pertama pada tahun lepas. Penyertaan daripada murid amat menggalakkan iaitu seramai 40 orang murid telah menyertai perkhemahan tersebut. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh konsultan yang telah dilantik oleh pihak sekolah. Pelbagai aktiviti menarik telah berjaya dilaksanakan sepanjang 3 hari perkhemahan tersebut termasuk jungle trekking, night walk, owling, first aiding, orienteering, LDP dan aktiviti-aktiviti riadah. Pada malam terakhir, para peserta mempersembahkan persembahan sempena malam kebudayaan yang diadakan bermula jam 9.30 malam hingga 11.30 malam. Pada hari terakhir, para peserta menjalankan aktiviti treasure hunt dan pertandingan masterchef. Majlis penutup telah dijalankan bermula jam 2.30 petang dan dirasmikan oleh YDP PIBG, Encik razali Bin Baharin. Program berakhir sepenuhnya pada jam 4 petang.























Monday 9 October 2017

SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

Panitia Sejarah yang diketuai oleh Encik Nizam sekali lagi telah berjaya melaksanakan Program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah. Program tersebut dilaksanakan bermula pada 11 Ogos 2017 dan berakhir pada 18 September 2017. Ia melibatkna semua murid, guru dan warga sekolah.  Tema bagi sambutan pada tahun ini adalah “Negaraku Sehati Sejiwa”. Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan telah diadakan pada  11 Ogos 2017 bertempat di Dewan Utama SMK Orkid Desa. 
       Pelbagai aktiviti telah Berjaya dilaksanakan sepanjang bulan kemerdekaan termasuk Pertandingan Kelas Patriotik,  Deklamasi Sajak, Pertandingan Peragaan Pakaian Tradisional, Pertandingan melukis poster dan pameran oleh agensi kerajaan.  Sambutan ambang kemerdekaan telah dilaksanakan pada 25 Ogos 2017 bermula jam 7.30 pagi hingga 9.00 pagi dan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan diadakan pada 18 September 2015 di Dewan Utama. Sambutan pada tahun ini berjalan lancar dan mendapat penglibatan yang baik daripada murid, guru dan AJK PIBG.







Monday 2 October 2017

PERTANDINGAN KAWAD KAKI BADAN BERUNIFORM

Pada hari Rabu 26 Julai 2017, Unit Kokurikulum SMK Orkid Desa telah berjaya melaksanakan Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform Kali Ke-3 peringkat sekolah. Pertandingan kawad kaki dimulakan dengan Pasukan Kadet Bomba yang mempersembahkan kawad statik, kawad dinamik serta kawad formasi. Pergerakan kawad tersebut telah memukau lebih 500 orang penonton termasuk guru, pelajar dan AJK PIBG. Pertandingan tersebut dijalankan di tapak perhimpunan sekolah bermula pada jam 8.00 pagi . 
        Selain Pasukan Kadet Bomba, pertandingan tersebut juga turut disertai oleh Pasukan KRS, Pasukan Kadet Polis, Pandu Puteri, Pertubuhan Pengakap, Kadet Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah. Pertandingan tersebut telah dihakimi oleh hakim jemputan iaitu Pegawai Polis daripada IPD Cheras dan Pegawai Bomba daripada Balai Bomba Cheras. Majlis penutup dijalankan pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dan dirasmikan oleh En. Razali Bin Baharin, YDP PIBG. Juara keseluruhan bagi pertandingan kawad kaki adalah pasukan Kadet Bomba dan diikuti tempat kedua iaitu Pasukan Kadet Polis. Pasukan Pandu Puteri merangkul tempat ketiga. Majlis berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 4.30 petang.













HARI BICARA AKADEMIK

Pada hari Khamis, 20 Julai 2017, SMK Orkid Desa telah berjaya mengadakan Program Hari Bicara Akademik bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Murid hadir ke sekolah seperti biasa  iaitu sebelum jam 7.20 pagi manakala ibu bapa hadir ke sekolah selepas waktu tersebut.
            Setelah selesai mendaftar kehadiran, ibu bapa yang hadir terus bergerak ke kelas anak masing-masing untuk mengambil kad laporan di samping berbincang tentang prestasi akademik serta sahsiah anak mereka bersama guru kelas. Setelah selesai, ibu bapa atau penjaga yang hadir pulang bersama-sama dengan anak masing-masing. Program berjalan lancar dan selesai sepenuhnya pada jam 12.00 tengah hari.

PROGRAM RIMUP ; JALINAN KASIH AIDILFITRI

Pada hari Jumaat, 14 Julai 2017, SMK Orkid Desa telah berjaya melaksanakan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) iaitu Sambutan Perayaan Aidilfitri peringkat sekolah. Murid berkumpul di dewan pada jam 7.20 pagi. Majlis dimulakan pada jam 7.40 pagi dengan nyanyian lagu Kebangsaan dan Bacaan Doa. Seterusnya semua hadirin sama-sama mendengar ucapan perasmian oleh Datuk Chew Yin Keen, Pengerusi Yayasan Pendidikan, Bandar Tun Razak. Setelah selesai, majlis diteruskan dengan persembahan sketsa dan nyanyian daripada murid serta guru yang menyanyikan lagu-lagu hari raya. 
         Majlis tersebut mendapat penglibatan daripada semua guru, staf dan murid. YDP PIBG dan beberapa AJK PIBG turut hadir untuk memeriahkan majlis. Semua guru, murid dan AJK PIBG yang hadir mengenakan pakaian yang berwarna-warni. Terdapat juga murid yang memakai pakaian tradisional kaum masing-masing. Setelah selesai majlis di Dewan Utama, semua hadirin bergerak ke ruang serbaguna dan kantin untuk menikmati jamuan hari raya. Majlis berjalan lancar dan tamat pada jam 12.00 tengah hari.











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...