Thursday 27 December 2018

MAKLUMAN KEPADA MURID

1. SESI PERSEKOLAHAN BAGI TAHUN 2019 AKAN BERMULA PADA HARI RABU, 2 JAN 2019.

2. MURID PERLU MEMAKAI UNIFORM SEKOLAH. (TIDAK PERLU MEMAKAI PAKAIAN UNIT BERUNIFORM).

3. MURID DIBENARKAN MEMAKAI KASUT/STOKIN BERWARNA PUTIH/HITAM.

4. PERHIMPUNAN RASMI AKAN DIJALANKAN DI DEWAN UTAMA SEBELUM SESI PDP BERMULA PADA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN

5. DUA WAKTU SELEPAS PERHIMPUNAN DIPERUNTUKKAN UNTUK PENGURUSAN KELAS DI KELAS MASING-MASING.

Friday 23 November 2018

SELAMAT BERCUTI!

SELAMAT BERCUTI BUAT SEMUA WARGA SMK ORKID DESA.
JUMPA LAGI TAHUN 2019!

Friday 16 November 2018

PROGRAM RIMUP : SAMBUTAN DEEPAVALI

Pada Hari Jumaat, 2 November 2018, SMK Orkid Desa telah berjaya melaksanakan Program RIMUP iaitu Sambutan Hari Deepavali bermula jam 10.30 pagi bertempat di Dewan Utama. Sambutan tersebut membuktikan bahawa warga SMK Orkid Desa mengamalkan sikap bersatu-padu walaupun terdiri daripada pelbagai kaum. 
             Pelbagai persembahan dipertontonkan kepada hadirin termasuk tarian tradisional kaum india, tarian kontemporari serta pertunjukan fesyen pakaian tradisional. Semua hadirin terpukau dengan keunikan yang ditampilkan dalam sambutan pada tahun ini. Majlis berlangsung dengan penuh kemeriahan dan tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.












Thursday 8 November 2018

MAJLIS GRADUASI TINGKATAN 5


Pada hari Sabtu, 27 Oktober yang lalu, SMK Orkid Desa telah berjaya mengadakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 bagi tahun 2018. Majlis tersebut diadakan di Dewan Utama Sekolah dan dirasmikan oleh Encik Azman Bin Haji Abidin, Ketua Cabang Bandar Tun Razak. Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan perarakan masuk pelajar tingkatan 5, guru-guru tingkatan 5, barisan Pentadbir dan para jemputan. 
            Setelah selesai ucapan perasmian, acara penyampaian sijil dimulakan dengan kelas 5 Tera dan 5 Giga, 5 Mega dan diikuti oleh kelas 5 Fedora. Para murid dan hadirin juga disajikan dengan beberapa persembahan termasuk persembahan tarian dan nyanyian. Warna SMK Orkid Desa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar tingkatan 5 tahun 2018 dengan harapan semoga terus cemerlang dalam peperiksaan SPM seterusnya berjaya dalam kerjaya masing-masing. Majlis berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.









Tuesday 16 October 2018

HARI ANUGERAH CEMERLANG HEM DAN KOKURIKULUM

Unit HEM dan Unit Kokurikulum SMK Orkid Desa sekali lagi telah berjaya berkolaborasi untuk melaksanakan Hari Anugerah Cemerlang Hal Ehwal murid dan Kokurikulum pada hari Jumaat, 21 September 2018. Majlis tersebut diadakan di Dewan Utama bermula jam 9.00 pagi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mustafa Bin Majid, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, PPW Bangsar dan Pudu. Pihak sekolah juga telah menjemput YDP PIBG, Encik Mohd Razali Bin Baharin serta beberapa AJK PIBG untuk turut bersama-sama memeriahkan majlis tersebut. 
           Majlis dimulakan dengan Nyanyian lagu  Kebangsaan dan diikuti oleh bacaan doa. Selepas itu, para hadirin bersama-sama mendengar ucapan daripada Tuan Pengetua, YDP PIBG dan ucapan perasmian oleh Tuan Haji Mustafa Bin Majid. Majlis penyampaian anugerah dimulakan dengan anugerah Hal Ehwal Murid dan diikuti oleh penyampaian anugerah Kokurikulum. Acara penyampaian anugerah diselangi dengan beberapa persembahan termasuk tarian tradisional dan persembahan nyanyian oleh murid-murid SMK Orkid Desa. Acara berlangsung dengan lancar dan majlis tamat sepenuhnya pada jam 12.00 tengah hari.











Thursday 11 October 2018

PERTANDINGAN KEMAHIRAN PENDIDIKAN KHAS


Pada 01 - 02 Oktober 2018, Unit Pendidikan Khas telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Pendidikan Khas Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pertandingan ini diadakan di SMK Tiara Permai, Sentul Kuala Lumpur. Terdapat beberapa pertandingan yang telah diadakan antaranya ialah solekan pengantin, tepak sireh, dekorasi kek, masakan tradisional iaitu masak tempoyak ikan patin, dekorasi pulut kuning dan membuat tengkolok diraja serta seni tekat.  Peserta diminta membuat pendaftaran seawal pukul 8.00 pagi di Smk Tiara Permai. 
              Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Orkid Desa telah menghantar 2 orang murid untuk menyertai pertandingan kemahiran ini. Peserta pertama iaitu Liew Yan Hao telah menyertai pertandingan kemahiran mendekorasi kek pada 01 Oktober 2018 dan telah mendapat tempat saguhati.  Pertandingan mendekorasi kek bermula pada jam 9.15 dan berakhir pada jam 11.15, para peserta perlu mendekorasi kek tanpa bantuan guru pembimbing. 
          Acara penutup diadakan di dewan SMK Tiara Permai pada jam 12.30 tengah hari. Peserta diberi sijil penyertaan. Peserta kedua iaitu Muhammad Nur Adam bin Omar telah menyertai pertandingan kemahiran memasak masakan tradisional tempoyak ikan patin pada 02 Oktober 2018 dan telah mendapat tempat saguhati. Pertandingan memasak tempoyak ikan patin bermula pada jam 9.15 dan berakhir pada jam 11.15, para peserta perlu memasak tempoyak ikan patin tanpa bantuan guru pembimbing. Acara penutup diadakan di dewan SMK Tiara Permai pada jam 12.30 tengah hari. Peserta diberi sijil penyertaan.










Tuesday 9 October 2018

SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2018

Tahun 2018 adalah merupakan detik yang sangat bersejarah kerana Sambutan Bulan Kebangsaan pada kali ini diraikan seiring dengan semangat Malaysia Baharu dengan bertemakan “Sayangi Malaysiaku”. SMK Orkid Desa tidak melepaskan peluang untuk merasai semangat tersebut dengan melaksanakan pelbagai program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah. 
          Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan telah disempurnakan oleh YDP PIBG, Encik Mohd Razali Bin Baharin pada 17 Ogos 2018. Manakala Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Alimuddin b. Haji Mohd Dom, Mantan Ketua Pengarah, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 30 Ogos 2018. Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan sepanjang bulan kebangsaan termasuk pertandingan kelas patriotik,  deklamasi sajak, pertandingan melukis poster dan pameran oleh agensi kerajaan. Majlis Penutup Bulan Kebangsaan diadakan pada 14 September 2018 di Dewan Utama. Sambutan pada tahun ini berjalan lancar dan mendapat penglibatan yang baik daripada murid, guru dan AJK PIBG.











Thursday 9 August 2018

PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT SEKOLAH

Pada hari Rabu 25 Julai 2018, Unit Kokurikulum SMK Orkid Desa telah berjaya melaksanakan Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform Kali Ke-4 peringkat sekolah. Pertandingan kawad kaki dimulakan dengan Pasukan Puteri Islam yang mempersembahkan kawad statik, kawad dinamik serta kawad formasi. Pertandingan kawad tersebut telah disaksikan lebih 500 orang penonton termasuk guru, pelajar dan AJK PIBG. Pertandingan tersebut dijalankan di tapak perhimpunan sekolah bermula pada jam 8.00 pagi . 
          Selain Pasukan Kadet Bomba, pertandingan tersebut juga turut disertai oleh Pasukan KRS, Pasukan Kadet Polis, Pandu Puteri, Pertubuhan Pengakap, Kadet Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah. Pertandingan tersebut telah dihakimi oleh hakim jemputan iaitu Pegawai Polis daripada IPD Cheras dan Pegawai Bomba daripada Balai Bomba Cheras. Majlis penutup dijalankan pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang dan dirasmikan oleh En. Razali Bin Baharin, YDP PIBG. Juara keseluruhan bagi pertandingan kawad kaki adalah pasukan Kadet Bomba dan diikuti tempat kedua iaitu Pasukan Pandu Puteri. Pasukan Kadet Polis merangkul tempat ketiga. Majlis berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 4.30 petang.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...