Friday 4 March 2016

JEMPUTAN KE MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-3

Semua Ibu bapa dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Agung PIBG Smk Orkid Desa, Kuala Lumpur pada 5 Mac 2016. Kehadiran anda dialu-alukan demi kecemerlangan anak-anak anda. Anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah Cabutan Bertuah sempena mesyuarat tersebut. 




MAJLIS PERSARAAN PUAN KOH SIEW ENG, GPK HAL EHWAL MURID

Bagaikan kehilangan sebutir permata, warga SMK Orkid Desa telah kehilangan seorang lagi pentadbir yang berkarisma dan sangat peramah iaitu Puan Koh Siew Eng, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang akan bersara awal bulan mac. Oleh itu, pihak Semorda khususnya Kelab Guru dan Staf yang diketuai oleh Encik Azmi b. Isa telah berjaya mengadakan satu Majlis Persaraan Puan Koh Siew Eng pada 29 Februari 2016 iaitu hari Isnin. Majlis bermula pada jam 7.20 pagi dan berakhir pada jam 9.40 pagi. Majlis berjalan lancar dan berakhir dengan acara send off dimana, Puan Koh Siew Eng diarak menggunakan kereta mewah dan konvoi motosikal berkuasa tinggi. Pihak sekolah mengucapkan selamat bersara kepada Puan Koh Siew Eng.







KEM PEMANTAPAN SAHSIAH

Panitia Pendidikan Islam SMK Orkid Desa yang diketuai oleh Ustazah Tuan Ruzana bt. Tuan Kechik telah mengambil langkah proaktif apabila berjaya menganjurkan Kem Pemantapan Sahsiah yang telah dilaksanakan pada 27 Februari 2016 iaitu hari Sabtu. Kem tersebut melibatkan murid-murid islam tingkatan 2 hingga tingkatan 5. Ia dijalankan di Dewan Semorda bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Pengisian kem bermula dengan slot motivasi bersama Ustaz Sufian b. Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai PU Sufian. Slot seterusnya disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Muhammad Aizat B. Zulkipli. Majlis penutup telah dirasmikan oleh YDP PIBG, En. Aminuddin Jamal b. Jamaluddin. Murid bersurai setelah selesai mendirikan solat zohor secara berjemaah.






HARI PENETAPAN TARGET PT3 DAN SPM

Komitmen SMK Orkid Desa dalam melonjakkan pencapaian akademik murid-murid sentiasa berada pada tahap tertinggi. Hal tersebut terbukti apabila pihak sekolah telah menjemput ibu bapa kepada murid – murid tingkatan 3 dan tingkatan 5 untuk hadir ke sekolah bagi menyertai Program Hari Penetapan Target pada 25 Februari 2016 bermula jam 7.20 pagi hingga 10.30 pagi dan bertempat di Dewan SEMORDA. Ibu bapa dan murid terlebih dahulu mendengar taklimat yang disampaikan oleh Tuan Pengetua. Selepas itu, mereka bergerak ke kaunter mengikut kelas masing-masing untuk berbincang dengan guru kelas dari pelbagai aspek termasuk akademik dan sahsiah.





ACARA SENAMROBIK 1M 1S DAN LARIAN MERENTAS DESA 2016

Pada hari Jumaat bersamaan dengan 19 Mac 2016, Unit Kokurikulum SMK Orkid Desa telah berjaya menganjurkan program Senamrobik 1M 1S dan Larian Merentas Desa. Murid berkumpul di dewan pada jam 7.20 pagi. Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik 1M 1S yang dikendalikan oleh murid – murid Semorda dan diketuai oleh Puan Evarina bt. Mohamad serta Puan Normi bt. Muhammad. Selepas itu, murid bergerak ke garisan permulaan bagi acara merentas desa mengikut kelas yang telah ditetapkan iaitu kelas 1 (tingkatan 4 dan 5), kelas 2 (tingkatan 3), dan kelas 3 (tingkatan 1 dan 2). Majlis Perasmian Penutupan diadakan di Dewan Semorda bermula jam 10.30 pagi. Penganjuran aktiviti ini telah mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak terutamanya Tuan Pengetua, YDP PIBG, AJK PIBG dan semua warga SMK Orkid Desa.






PROGRAM RIMUP 1 - SAMBUTAN TAHUN BARU CINA

Pada 5 Februari 2016, SMK Orkid Desa telah melaksanakan Program RIMUP bersempena Sambutan Tahun Baru Cina. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat muhibbah dan perpaduan dalam    kalangan murid, guru dan staf SMK Orkid Desa. Majlis sambutan tersebut telah dirasmikan oleh En. Aminuddin Jamal b. Jamaluddin, YDP PIBG. Pelbagai acara menarik telah diadakan termasuk persembahan tarian dan nyanyian oleh murid-murid, tarian singa serta pemberian limau kepada setiap murid, guru dan warga SMK Orkid Desa.







LAWATAN PENANDA ARAS PDPA21 KE SMK SERI PERLING, JOHOR BAHRU

Hasil daripada perancangan Mantan Pengetua SMK Orkid Desa pada tahun 2015, AJK Kelab Guru yang diketuai oleh Encik Azmi b. Isa selaku Pengerusi Kelab guru telah berjaya merealisasikan satu Program Lawatan Penanda Aras Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PDPA21)  ke SMK Seri Perling, Johor Bahru pada hari Ahad bersamaan dengan 31 Januari 2016. Guru dan staf bergerak sehari lebih awal iaitu pada hari sabtu menggunakan perkhidmatan bas dan bermalam di sebuah hotel. Program lawatan tersebut memberi peluang dan pengalaman kepada guru dan staf dalam melaksanakan PDPA21 di SMK Orkid Desa.






PELANCARAN PROGRAM NILAM

Pada hari Isnin bersamaan dengan 11 Januari 2016, Majlis Pelancaran Program NILAM telah dilaksanakan bertempat di Dewan Semorda. Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Tuan Pengetua iaitu Encik Abd Samad b. Othman. Puan Hasni Hastuti selaku guru penyelaras Program NILAM telah menyampaikan taklimat yang berkaitan dengan program NILAM dan PSS. Majlis tersebut tamat pada jam 8.20 pagi.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...