Friday 17 March 2017

KEJOHANAN MERENTAS DESA KALI KE-3 TAHUN 2017

Pada hari Jumaat, 24 Februari 2017, SMK Orkid Desa telah berjaya menganjurkan Kejohanan Merentas Desa SMK Orkid Desa Kali ke-3 bagi tahun 2017. Kejohanan tersebut telah diadakan di sekitar kawasan Taman Rekreasi Alam Damai, Cheras. Murid dan guru mula berkumpul di kawasan parkir taman pada jam 7.20 pagi dan beratur mengikut rumah sukan masing-masing. Selepas itu, semua guru dan murid memulakan acara dengan sesi memanaskan badan melalui senamrobik yang dikendalikan oleh Puan Evarina. 

             Acara terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Pada jam 9.00 pagi, selepas hujan mulai reda, murid berkumpul semula di tapak parkir untuk dilepaskan. Acara pelepasan murid dilaksanakan oleh Tuan Pengetua, Encik Abdul Samad bin Othman dan YDP PIBG, Encik Razali bin Baharin. Murid dilepaskan mengikut kategori iaitu L1, L2, L3, P1, P2 dan P3. Semua peserta larian memulakan larian dengan penuh bersemangat walaupun hujan masih lagi belum reda sepenuhnya. 

         Pada jam 10.30 pagi, semua peserta telah selamat tiba di garisan penamat dan berjaya menghabiskan larian tanpa sebarang kecederaan. Majlis penyampaian hadiah dijalankan bermula jam 11.00 pagi di kawasan parkir. Majlis tersebut dirasmikan oleh YPD PIBG, Encik Razali bin Baharin. Acara tamat sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.






Wednesday 8 March 2017

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-4

Pada setiap tahun, Mesyuarat Agung PIBG akan dilaksanakan bagi melantik AJK PIBG yang baharu serta perbincangan berkenaan dengan masalah yang timbul terutama perkara yang berkaitan dengan anak-anak mereka. Mesyuarat tersebut juga bertujuan untuk mewujudkan hubungan baik antara ibu bapa dan pihak sekolah melalui pertukaran pendapat sekaligus dapat meningkatkan lagi kualiti pengurusan sekolah dari pelbagai sudut. 

             Bagi mencapai hasrat tersebut, SMK Orkid Desa telah menjemput ibu bapa untuk menghadiri Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke - 4 Tahun 2017. Majlis tersebut diadakan di Dewan Utama, SMK Orkid Desa pada hari Sabtu, 18 Februari 2017. Pendaftaran ibu bapa bermula jam 8.00 pagi di pintu utama dewan. Ibu bapa yang tiba lebih awal disajikan dengan tayangan video berkenaan aktiviti sekolah sepanjang tahun 2016. Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah. Selepas itu, hadirin bersama-sama mendengar ucapan amanat daripada Tuan Pengetua dan YPD PIBG sesi 2016/2017. Acara diselitkan dengan cabutan bertuah ibu bapa selepas tayangan multimedia.

          Pada jam 10.30 pagi, mesyuarat agung dimulakan dengan pembentangan minit, laporan aktiviti dan laporan kewangan. Setelah selesai pelantikan AJK PIBG sesi 2017/2018, ibu bapa dijemput untuk menyatakan usu-usul yang telah dibangkitkan dan Pengerusi serta YDP PIBG menjawab setiap usul yang dinyatakan. Majlis ditamatkan dengan ucapan penangguhan dan acara cabutan bertuah. Majlis berjalan lancar dan tamat pada jam 12.30 tengah hari




Tuesday 7 March 2017

RIMUP 1 ; SAMBUTAN TAHUN BARU CINA

Program RIMUP adalah singkatan kepada Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan yang di muatkan dalam aktiviti sekolah di seluruh Malaysia. Program ini bertujuan untuk memupuk perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini. 

       Bagi menyahut seruan kerajaan, SMK Orkid Desa dengan kerjasama PIBG telah berjaya menganjurkan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Sekolah. Sambutan tersebut diadakan pada hari Rabu, 25 Januari 2017 bermula jam 8.30 pagi. Kemeriahan sambutan diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia Datuk Chew Yin Keen, Pengerusi Yayasan Pendidikan Kawasan Bandar Tun Razak untuk merasmikan majlis tersebut. 

        Selepas mendengar ucapan daripada Tuan Pengetua, Encik Abdul Samad Bin Othman dan Datuk Chew Yin Keen, para hadirin disajikan dengan persembahan Tarian Singa dan persembahan murid yang mempersembahkan Tarian Kipas, Seni Wushu dan Gimnastik. Majlis berakhir dengan penyampaian Ang Pau dan buah limau kepada semua murid dan guru. Majlis berjalan lancar dan berakhir pada jam 10.30 pagi.








Monday 6 March 2017

HARI ORIENTASI TINGKATAN 1 2017

Pada 29 Disember 2016, SMK Orkid Desa telah mengadakan Hari Orientasi Tingkatan 1 bagi menyambut kemasukan murid ke SMK Orkid Desa. Majlis tersebut diadakan di Dewan Utama Sekolah. Pendaftaran ibu bapa bermula pada jam 8.00 pagi hingga 8.30 pagi. Selepas nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah, Tuan Pengetua menyampaikan taklimat berkenaan dengan Dasar - Dasar KPM, KSSM, PBS dan E-Sarana. 

     Setelah selesai mendengar ucapan daripada YDP PIBG, Encik Razali b. Baharin, Ibubapa kemudian menyaksikan tayangan montaj berkenaan dengan aktiviti sekolah sepanjang tahun 2016. Murid ditempatkan di Ruang Serbaguna untuk mendengar taklimat pengurusan murid yang disampaikan oleh kaunselor sekolah. Setelah selesai majlis, murid dan ibubapa bergerak ke kelas masing-masing untuk melaksanakan pengurusan kelas bersama dengan guru kelas masing-masing. Program berakhir sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari setelah murid selesai mengambil buku teks dan membuat bayaran keperluan sekolah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...