Monday 26 March 2018

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-5 2018

Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  kali ke-5 bagi tahun 2018 telah diadakan pada 24 Februari 2018 bertempat di Dewan Utama, SMK Orkid Desa. Mesyuarat ini bermula pada jam 8.00 pagi dan dihadiri oleh para ibu bapa dan Ahli jawatankuasa (AJK) PIBG SMK Orkid Desa Sesi 2017/2018. Majlis bermula pada pukul 7.30 pagi dengan pendaftaran para guru dan ibu bapa. Tetamu Kehormat iaitu Yang Dipertua PIBG, En. Mohd Razali b. Baharin, Penceramah jemputan, Barisan AJK PIBG sesi 2017/2018 dan barisan pentadbir, SMK Orkid Desa tiba di perkarangan Dewan Utama tepat jam 8.00 pagi. 
           Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah Persekutuan. Seterusnya bacaan doa oleh saudara Hafiz b. Amir, pelajar tingkatan 4 Tera. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Pengetua dan Yang Dipertua (YDP) PIBG sesi 2017/2018. Seterusnya pihak majlis menyampaikan sijil dan cenderamata kepada AJK PIBG sesi 2017/2018 sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Persembahan multimedia menyusul selepas itu dengan memaparkan aktiviti yang dijalankan oleh PIBG sesi 2017/2018. Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kali ke-5 Tahun 2018 bermula tepat jam 11.00 pagi. Pelantikan AJK berjalan lancar dan berakhir sepenuhnya tepat jam 1.00 tengah hari. 







Tuesday 13 March 2018

HARI PENETAPAN TARGET PT3 DAN SPM

SMK Orkid Desa sentiasa komited dalam melonjakkan tahap pencapaian akademik murid-murid. Hal tersebut terbukti apabila pihak sekolah telah berjaya melaksanakan Program Hari Penetapan Target PT3 dan SPM pada 22 Februari 2018 bermula jam 7.30 pagi. Program tersebut diadakan di Dewan Utama Sekolah dan dihadiri oleh ibu, bapa dan penjaga kepada murid - murid tingkatan 3 dan tingkatan 5. 
          Majlis bermula dengan slot ceramah bertajuk "Tanggungjawab Ibubapa dalam Sistem Pendidikan" yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Safwan Syafiq. Selepas itu, program diteruskan dengan ucapan dan taklimat yang disampaikan oleh Tuan Pengetua, Encik Abd. Samad b. Othman. Setelah selesai, para ibu bapa bersama murid bergerak ke kaunter mengikut kelas masing-masing untuk berbincang dengan guru kelas tentang prestasi akademik dan sahsiah anak masing-masing. Program berjalan lancar dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari.











Monday 5 March 2018

PROGRAM RIMUP 1 : SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA

Pada hari Jumaat, 9 Februari yang lalu, SMK Orkid Desa telah berjaya mengadakan Program RIMUP pertama bagi tahun 2018 iaitu Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat sekolah. Majlis tersebut diadakan di Dewan Utama, SMK Orkid Desa bermula jam 10.00 pagi. Majlis tersebut dihadiri dan dirasmikan oleh Datuk Chew Yin Keen, Pengerusi Yayasan Pendidikan Kawasan Bandar Tun Razak. AJK PIBG turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. 
      Majlis dimulakan dengan Nyanyian Lagu Negaraku dan Maju Sejahtera serta diikuti dengan bacaan doa. Semasa ucapan perasmian oleh Datuk Chew Yin Keen, beliau menekankan semangat perpaduan yang perlu dipupuk diperingkat sekolah tidak mengira agama dan bangsa. Selepas selesai upacara perasmian, para hadirin dihidangkan dengan beberapa persembahan termasuk persembahan nyanyian, Tarian Moden, Tarian Riben, Tarian Gimnastik dan Koir yang dipersembahkan oleh murid-murid SMK Orkid Desa. Sebelum meninggalkan majlis, Datuk Chew Yin Keen mengagihkan limau dan Ang Pow kepada guru dan murid. Majlis berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.








MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS 2018

Badan Pengawas merupakan organisasi yang memainkan peranan penting terutama dalam memastikan misi dan visi sekolah dapat dicapai. Mereka bertindak sebagai barisan hadapan dalam membantu pihak sekolah memacu kecemerlangan sekolah. Pada 29 Januari 2018, SMK Orkid Desa telah mengadakan majlis khas untuk melantik secara rasmi bagi setiap badan pengawas termasuk Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas SPBT, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Briged Bestari, Skuad COMBI, dan Pengawas PPKI. 
       Majlis Pelantikan tersebut telah dirasmikan oleh Inspektor Thinakaran a/l Sundra Raju, Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Cheras. Beliau juga telah dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah. Barisan Pengawas diharap dapat menjalankan tugas dengan jujur dan amanah serta sentiasa patuh terhadap peraturan sekolah. Majlis tersebut berjalan lancar dan berakhir pada jam 9.00 pagi.











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...