Friday 27 March 2015

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-2 TAHUN 2015

1.1       Pengenalan

Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  kali ke-2 bagi tahun 2015 telah diadakan pada 7 Mac 2015 bertempat di Dewan Utama, Sekolah Menengah Orkid Desa, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Majlis ini dihadiri oleh para ibu bapa dan Ahli jawatankuasa (AJK) PIBG SMK Orkid Desa Sesi 2014/2015.

1.2       Pelaksanaan

Majlis bermula pada pukul 7.30 pagi di mana para guru dan ibu bapa telah mula mendaftar di Dewan Utama, SMK Orkid Desa. Tetamu Kehormat iaitu Yang Dipertua PIBG, En. Aminuddin Jamal bin Jamaluddin, Pn. Azlina bt Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Datin Rokiah bt Yaakob, Penceramah jemputan, Barisan AJK PIBG sesi 2014/2015 dan barisan pentadbir, SMK Orkid Desa tiba di perkarangan Dewan Utama tepat jam 8.00 pagi. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah Persekutuan. Seterusnya bacaan doa oleh saudara Khairul Afiq bin Mohd Rashid, pelajar tingkatan empat. Majlis didahului dengan taklimat daripada Pn. Azlina bt Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL). Beliau memberi penerangan yang jelas tentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Seterusnya taklimat daripada Datin Rokiah bt Yaakob, Penceramah jemputan bertajuk “Keperluan Pendidikan Masa Kini” dengan memberi penekanan kepada aspek Bahasa Inggeris. Majlis seterusnya menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada kedua - dua penceramah.

            Majlis diteruskan dengan taklimat e-Sarana oleh Pn. Nor Aidawati bt Mohamad, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Orkid Desa. Taklimat ini menyarankan agar ibu bapa lebih memberi komitmen serta melibatkan diri dengan mengambil tahu hal-hal berkaitan dengan sekolah agar aktiviti dapat dijalankan dengan lancar melalui sokongan daripada pihak ibu bapa. Majlis diterusnkan lagi dengan ucapan daripada tuan pengetua dan ucapan daripada Yang Dipertua (YDP PIBG sesi 2014/2015. Seterusnya pihak majlis menyampaikan sijil dan cenderamata kepada AJK PIBG sesi 2014/2015 sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Persembahan multimedia menyusul selepas itu dengan memaparkan aktiviti yang dijalankan oleh PIBG sesi 2014/2015. Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kali ke-2 Tahun 2015 bermula tepat jam 12.00 tengah hari dimulai dengan pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat agung penubuhan PIBG tahun 2014. Agenda seterusnya dalam mesyuarat ini adalah pembentangan laporan tahunan kegiatan PIBG sesi 2014/2015 oleh Setiausaha PIBG, pembentangan laporan kewangan PIBG bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2014 oleh Bendahari PIBG. Seterusnya YDP PIBG sesi 2014/2015 membubarkan AJK PIBG sesi 2014/2015 dan majlis melantik pengerusi sementara iaitu Tuan Pengetua bagi melantik AJK PIBG sesi 2015/2016.


Pelantikan AJK berjalan lancar dengan sokongan dan komitmen daripada pihak guru dan ibu bapa. YDP PIBG sesi 2015/2016 iaitu Encik Aminuddin Jamal bin Jamaluddin membacakan usul-usul yang telah dihantar oleh ibu bapa serta tindakan sekolah. Beliau seterusnya memberikan ucapan penangguhan. Majlis berakhir dengan penggambaran foto AJK PIBG sesi 2015/2016. Majlis berakhir tepat jam 1.00 tengah hari. 









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...