Wednesday, 17 May 2017

KEM SMART SOLAT

Panitia Pendidikan Islam SMK Orkid Desa yang diketuai oleh Ustazah Tuan Ruzana bt. Tuan Kechik telah mengambil langkah proaktif apabila berjaya menganjurkan Kem Smart Solat yang telah dilaksanakan pada hari sabtu, 4 Mac 2017. Kem tersebut melibatkan murid-murid SMK Orkid Desa yang beragama islam. Ia dijalankan di Dewan Sekolah bermula jam 7.30 pagi. Pengisian kem bermula dengan slot motivasi “Mengapa Kita Disini?” yang dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Nornaemi Bin Md. Som. 
            Seterusnya, peserta bersama-sama mengambil wuduk dan menunaikan solat Dhuha dua rakaat. Program bersambung dengan slot yang ketiga iaitu “Rahsia Rukun Solat”dan “Solat Menjamin Kecemerlangan”. Setelah selesai slot Resolusi dan Penilaian, majlis penutupan dimulakan. Penutupan kem Smart Solat telah dirasmikan oleh YDP PIBG, En. Razali Bin Baharin. Murid bersurai setelah selesai mendirikan solat zohor secara berjemaah pada jam 2.30 petang.







Monday, 15 May 2017

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS 2017

Pada 7 hingga 9 April yang lalu, Unit HEM serta Unit Bimbingan dan Kaunseling telah berjaya melaksanakan Kursus Kepimpinan Pengawas bagi tahun 2017. Kursus tersebut diadakan di Kem Asli, Hulu Langat yang melibatkan 40 orang pengawas serta guru-guru daripada unit Hem dan disiplin. Kursus tersebut dikendalikan oleh konsultan luar yang dijemput untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang tiga hari dua malam tersebut. Antara objektif yang perlu dicapai adalah untuk melahirkan barisan pengawas yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi serta mantap. 
       Terdapat banyak slot aktiviti yang menarik dijalankan semasa kursus tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan adalah slot LDP, ice-breaking, burung hantu dan sebagainya. Semua peserta menunjukkan sikap yang amat baik dan positif sepanjang kursus tersebut serta melibatkan diri dengan aktif. Para pengawas diharapkan supaya mengaplikasikan ilmu yang diperolehi semasa menjalankan tugas di sekolah nanti. Program berjalan lancar dan murid pulang ke sekolah pada 9 April jam 1.00 tengah hari.









Thursday, 11 May 2017

KARNIVAL DANATHON SMK ORKID DESA 2017

SMK Orkid Desa sekali lagi telah melakar sejarah yang tersendiri melalui penganjuran Karnival Danathon untuk kali yang pertama tahun 2017.Karnival tersebut diadakan pada hari Sabtu, 15 April 2017 bertempat di SMK Orkid Desa dan bermula pada jam 8.00 pagi. Karnival tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan dan mengukuhkan lagi sumber kewangan sekolah. Karnival tersebut berjaya dilaksanakan hasil daripada usaha dan komitmen yang tinggi daripada Ahli Jawatan Kuasa PIBG serta Pihak Sekolah termasuk pentadbir, guru-guru dan AKP. 
          Pelbagai gerai jualan dibuka untuk peniaga-peniaga luar serta kelab dan persatuan yang diwakili oleh murid serta guru. Terdapat pelbagai jualan termasuk makanan, pakaian dan gajet-gajet. Selain itu, terdapat juga tapak-tapak pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Pengunjung juga dihidangkan dengan lagu-lagu serta persembahan karaoke. 
         Kanak-kanak yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba permainan dalam kolam gergasi dan juga permainan pelampung udara gergasi. Kehadiran pengunjung amat menggalakkan dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk sekitar. Karnival berjalan lancar dan berakhir pada jam 4.00 petang.










KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG SMKOD 2017

Pada setiap tahun, kejohanan sukan menjadi acara wajib yang dijalankan di semua sekolah seluruh Malaysia. Ia bertujuan untuk menyemai semangat kesukanan dan meningkatkan kecergasan fizikal sekaligus memberi kesan kepada kecerdasan intelek. SMK Orkid Desa tidak melepaskan peluang dalam usaha tersebut dengan menganjurkan Kejohanan Padang dan Balapan yang diadakan pada hari Jumaat, 31 Mac 2017. 
      Kejohanan tersebut dijalankan di Stadium Mini Seri Permaisuri bermula jam 8.00 Pagi. Murid dan guru berkumpul di hadapan astaka bagi mendengar taklimat kejohanan yang disampaikan oleh En. Rozi selaku Setiausaha Sukan Sekolah. Selepas itu, murid bergerak ke khemah rumah sukan masing-masing. Peserta perbarisan bergerak ke trek laluan dan bersedia untuk acara perbarisan masuk padang. 
    Pada jam 8.00 pagi, upacara perasmian dimulakan dengan perbarisan masuk padang oleh pembawa bendera dan ahli rumah sukan. selepas bacaan doa dan nyanyian lagu, semua hadirin bersama-sama mendengar ucapan perasmian yang disampaikan oleh YDP PIBG, En. Razali Bin Baharin. Pada jam 9.30 pagi, acara kejohanan sukan dimulakan. Acara yang dipertandingkan adalah termasuk 100m, 200m, 400m dan 4 x 100m. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu L1, L2, L3 serta P1, P2 dan P3. 
       Acara penutup iaitu tarik tali terpaksa dibatalkan atas faktor keadaan tali yang tidak mengizinkan. Upacara penyampaian hadiah dijalankan bermula jam 12.00 tengah hari dan berakhir sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...